Tuesday, December 29, 2020

Ambil Tahu Cara Pengiraan Bayaran Zakat Emas Dan Perak

Assalamualaikum

 

Sejak zaman nenek moyang kita lagi, kita sedia maklum yang memang emas adalah salah satu pelaburan berpanjangan yang bukan saja merupakan simpanan di saat memerlukan, tetapi juga aset di masa akan datang. Dulu nak menyimpan di bank agak susah jadi mak-mak kita akan beli barang perhiasan emas atau perak sebagai simpanan wang mereka.

 


Emas Dan Perak Perhiasan Wanita


Barang perhiasan emas bukan saja cantik dipakai tetapi juga mempunyai nilai yang tinggi apabila dijual semula. Sebab tu, mak selalu cakap "tak rugi beli emas, sebab harganya lama-lama akan naik dan bila susah/terdesak boleh digunakan". Ye la, zaman dulu kan mana ada kad kredit semua tu, jadi barang kemas la penyelamat di saat memerlukan.

 

Biasanya, dulu-dulu orang berniaga pun gunakan barang emas tau untuk rolling modal mereka. Contoh; pagi diorang cagarkan barang kemas untuk dijadikan modal, petang bila dah dapat semula duit jualan bersama keuntungan, mereka akan ambil semula barang kemas tersebut.



Sumber gambar: Google


Sehingga kini ramai yang mempraktikkan simpanan emas di rumah masing-masing. Selain itu barang perhiasan emas dan perak juga digunakan untuk dihadiahkan atau diturunkan kepada anak cucu sebagai perhiasan emas turun temurun dan telah pun menjadi tradisi sehingga kini. Tidak mustahil, kedai perhiasan emas dan perak tumbuh seperti cendawan tumbuh dan pelbagai design yang cantik dihasilkan oleh pereka barang kemas. Rambang mata dibuatnya kalau pergi ke kedai emas kan para isteri semua? Kalaulah ada duit berjuta-juta dalam bank, satu kedai nak dibeli kan? hehe ^___^

 


Zakat Emas Dan Perak


Tapi perlu diingat, barang perhiasan emas dan perak yang disimpan, dicagarkan atau dipakai wajib dibayar zakat. Terdapat cara pengiraan dan berat/haul tertentu yang wajib dibayar zakat.

 


Terdapat dalil tentang kewajiban membayar zakat emas dan perak iaitu:



Dalil Al-Quran:

              

وَٱلَّذِينَ يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ ۝٣٤

                                                                                           

Maksudnya:

Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka kabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya
(Surah At-Taubah : Ayat 34)


Sabda Rasulullah s.a.w:

Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun
(Hadis riwayat Abu Daud)


Sabda Rasulullah s.a.w:

Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka
(Hadis Riwayat Muslim)




Kaedah Kiraan Zakat Emas & Perak

Emas Perhiasan Wanita

Sumber gambar: Google

Emas yang digunakan sebagai perhiasan wanita, perkakasan atau perabot sama ada digunakan selalu, berkali-kali, sekali sekala atau berterusan wajib dizakat yakni apabila jumlah beratnya melebihi ‘uruf (adat kebiasaan)’. Untuk pengetahuan, mama share ni adalah kadar uruf emas di Selangor iaitu sebanyak 800 gram (kadar uruf semasa). Contoh pengiraannya boleh rujuk di bawah ini.

Contoh:
[(Berat emas – Uruf) x harga emas semasa x 2.5%]
(900 gram – 800 gram) x RM144.38 = RM14,438 x 2.5% = RM360.95




Emas Bukan Perhiasan

Sumber gambar: Google

Emas bukan perhiasan adalah emas yang dimiliki tetapi bukan bertujuan untuk perhiasan. Jongkong emas, matawang, tempa, barang kemas dan seumpamanya adalah contoh emas bukan perhiasan kerana kita gunakannya hanya untuk simpanan atau aset sahaja.

 

Emas bukan perhiasan ini dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ianya tidak sama dengan emas perhiasan wanita. Nisab emas yang tidak dipakai adalah sebanyak 85 gram.

Contoh:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5% = Jumlah Zakat
100 gram x RM144.38= RM14,438 x 2.5% = RM360.95

 



Emas Bercagar

Untuk pengetahuan bersama, emas yang digadai atau dicagarkan adalah milikan sempurna dan wajib dizakatkan setelah ditolak nilai pinjaman dan upah simpan. Jadi jika ada emas yang dicagarkan, maka wajiblah dibayar zakat mengikut pengiraan seperti berikut:-

Contoh:
[(Berat emas semasa x harga semasa) – Nilai Pinjaman – Upah Simpan] x 2.5% = Jumlah Zakat
[(200 gram x RM144.38= RM28,876) – RM10,000 – RM76] x 2.5% = RM470

 


Perak

Sumber gambar: Google


Untuk logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan atau tidak iaitu disimpan sebagai perhiasan di rumah, maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih. Boleh rujuk cara pengiraan bayaran zakat perak seperti di bawah:

Contoh:
600 gram perak x RM2.45(segram pada 30 April 2014) x 2.5% = RM36.75




 


Pelaburan Emas Tanpa Fizikal Tidak Patuh Syariah

Untuk makluman semua, pelaburan emas tanpa fizikal tidak patuh Syariah (ditaksirkan zakat simpanan). Pelaburan sebegini menggunakan nilai harga emas semasa sebagai sandaran pelaburan mereka kerana pihak institusi sebenarnya tidak memiliki emas secara fizikal.

Hukum

Hukum pelaburan seumpama ini adalah tidak sah dan haram. Pelaburan emas tanpa fizikal adalah termasuk dalam kategori jual beli sesuatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli sesuatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya. Akadnya batil kerana tidak mencukupi syarat termeterai akad dari sudut kelayakan bertransaksi dan subjek yang diakadkan. Ambil maklum ye semua, jangan sampai kita terjebak dengan pelaburan emas sebegini.

Pelaburan emas seperti ini sekiranya terdapat keuntungan, maka keuntungannya adalah haram. Jadi, ianya tidak wajib dizakatkan. Tetapi, modal atau pokok pelaburan tersebut adalah harta yang halal. Jika ianya melebihi nisab, maka zakat wajib dikeluarkan sebanyak 2.5% daripada jumlah modal tersebut.

Dalam lain keadaan, Akad Fasid kerana tidak mencukupi syarat sah / rukun jual beli , tetapi diakhiri dengan berlaku proses qabd (pindah milik), maka diwajibkan zakat ke atasnya kerana status pemilikannya adalah sempurna. Iaitu wajib zakat (atas kedua-dua prinsipal dan keuntungan) untuk transaksi yg akadnya fasid tetapi disertai qabd.



Maklumat Lanjut

Maklumat selanjutnya boleh rujuk cara pengiraan di website Lembaga Zakat Selangor seperti berikut:

 


Website: 

https://www.zakatselangor.com.my/

 


Alamat:

Bangunan Zakat Selangor

3-01-1, Presint ALAMi, Pusat Perniagaan Worldwide 2,

Persiaran Akuatik, Seksyen 13, 40100 Shah Alam,

Selangor Darul Ehsan

 


Waktu Operasi Cawangan:

1 Disember - 28 Disember 2020

9:00 pagi - 4:00 petang

Sabtu, Ahad & Cuti Umum

9:00 pagi - 3:00 petang

29 Disember - 31 Disember 2020

8:30 pagi - 8:00 malam


2 comments:

  1. Betol tu emas ni dari zaman dulu lg smpai skrg masih relevan untuk simpan. Bila sesak kita guna.

    ReplyDelete
  2. Simpanan emas paling berbaloi, tp jgn lupa utk lupa bayar zakat ikut berat yg diwajibkan..

    ReplyDelete