Assalamualaikum
Sejak zaman nenek moyang kita
lagi, kita sedia maklum yang memang emas adalah salah satu pelaburan
berpanjangan yang bukan saja merupakan simpanan di saat memerlukan, tetapi juga
aset di masa akan datang. Dulu nak menyimpan di bank agak susah jadi mak-mak
kita akan beli barang perhiasan emas atau perak sebagai simpanan wang mereka.
Emas Dan Perak Perhiasan Wanita
Barang perhiasan emas bukan saja cantik dipakai tetapi juga mempunyai nilai yang tinggi apabila dijual semula. Sebab tu, mak selalu cakap "tak rugi beli emas, sebab harganya lama-lama akan naik dan bila susah/terdesak boleh digunakan". Ye la, zaman dulu kan mana ada kad kredit semua tu, jadi barang kemas la penyelamat di saat memerlukan.
Biasanya, dulu-dulu orang berniaga
pun gunakan barang emas tau untuk rolling modal mereka. Contoh; pagi diorang
cagarkan barang kemas untuk dijadikan modal, petang bila dah dapat semula duit
jualan bersama keuntungan, mereka akan ambil semula barang kemas tersebut.
Sumber gambar: Google |
Sehingga kini ramai yang
mempraktikkan simpanan emas di rumah masing-masing. Selain itu barang perhiasan
emas dan perak juga digunakan untuk dihadiahkan atau diturunkan kepada anak
cucu sebagai perhiasan emas turun temurun dan telah pun menjadi tradisi
sehingga kini. Tidak mustahil, kedai perhiasan emas dan perak tumbuh seperti
cendawan tumbuh dan pelbagai design yang cantik dihasilkan oleh pereka barang
kemas. Rambang mata dibuatnya kalau pergi ke kedai emas kan para isteri semua?
Kalaulah ada duit berjuta-juta dalam bank, satu kedai nak dibeli kan? hehe ^___^
Zakat Emas Dan Perak
Tapi perlu diingat,
barang perhiasan emas dan perak yang disimpan, dicagarkan atau dipakai wajib dibayar zakat. Terdapat cara pengiraan dan
berat/haul tertentu yang wajib dibayar zakat.
Terdapat dalil tentang
kewajiban membayar zakat emas dan perak iaitu:
Dalil Al-Quran:
وَٱلَّذِينَ
يَكْنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ
فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍۢ ٣٤
Maksudnya:
Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka kabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya
(Surah At-Taubah : Ayat 34)
Sabda Rasulullah s.a.w:
Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun
(Hadis riwayat Abu Daud)
Sabda Rasulullah s.a.w:
Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka
(Hadis Riwayat Muslim)
Kaedah Kiraan Zakat Emas & Perak
Emas Perhiasan Wanita
Sumber gambar: Google |
Emas yang digunakan sebagai perhiasan wanita, perkakasan atau perabot sama ada digunakan selalu, berkali-kali, sekali sekala atau berterusan wajib dizakat yakni apabila jumlah beratnya melebihi ‘uruf (adat kebiasaan)’. Untuk pengetahuan, mama share ni adalah kadar uruf emas di Selangor iaitu sebanyak 800 gram (kadar uruf semasa). Contoh pengiraannya boleh rujuk di bawah ini.
Contoh:
[(Berat emas – Uruf) x harga emas semasa x 2.5%]
(900 gram – 800 gram) x RM144.38 = RM14,438 x 2.5% = RM360.95
Emas Bukan Perhiasan
Sumber gambar: Google |
Emas
bukan perhiasan adalah emas yang dimiliki tetapi bukan bertujuan untuk
perhiasan. Jongkong emas, matawang, tempa, barang kemas dan seumpamanya adalah contoh
emas bukan perhiasan kerana kita gunakannya hanya untuk simpanan atau aset
sahaja.
Emas bukan
perhiasan ini dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya
kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ianya tidak
sama dengan emas perhiasan wanita. Nisab emas yang tidak dipakai adalah
sebanyak 85 gram.
Contoh:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5% = Jumlah Zakat
100 gram x RM144.38= RM14,438 x 2.5% = RM360.95
Emas Bercagar
Untuk pengetahuan bersama, emas yang digadai atau dicagarkan adalah milikan sempurna dan wajib dizakatkan setelah ditolak nilai pinjaman dan upah simpan. Jadi jika ada emas yang dicagarkan, maka wajiblah dibayar zakat mengikut pengiraan seperti berikut:-
Contoh:
[(Berat emas semasa x harga semasa) – Nilai Pinjaman – Upah Simpan] x 2.5% =
Jumlah Zakat
[(200 gram x RM144.38= RM28,876) – RM10,000 – RM76] x 2.5% = RM470
Perak
Sumber gambar: Google |
Untuk
logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan atau tidak iaitu disimpan
sebagai perhiasan di rumah, maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang
perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau
lebih. Boleh rujuk cara pengiraan bayaran zakat perak seperti di bawah:
Contoh:
600 gram perak x RM2.45(segram pada 30 April 2014) x 2.5% = RM36.75
Pelaburan Emas Tanpa Fizikal Tidak Patuh Syariah
Untuk makluman semua, pelaburan
emas tanpa fizikal tidak patuh Syariah (ditaksirkan zakat simpanan). Pelaburan sebegini
menggunakan nilai harga emas semasa sebagai sandaran pelaburan mereka kerana pihak
institusi sebenarnya tidak memiliki emas secara fizikal.
Hukum
Hukum
pelaburan seumpama ini adalah tidak sah
dan haram. Pelaburan emas tanpa fizikal adalah termasuk dalam kategori jual
beli sesuatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli sesuatu yang
tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya. Akadnya batil kerana tidak mencukupi
syarat termeterai akad dari sudut kelayakan bertransaksi dan subjek yang
diakadkan. Ambil maklum ye semua, jangan sampai kita terjebak dengan pelaburan
emas sebegini.
Pelaburan
emas seperti ini sekiranya terdapat keuntungan, maka keuntungannya adalah
haram. Jadi, ianya tidak wajib dizakatkan. Tetapi, modal atau pokok pelaburan
tersebut adalah harta yang halal. Jika ianya melebihi nisab, maka zakat wajib
dikeluarkan sebanyak 2.5% daripada jumlah modal tersebut.
Dalam lain
keadaan, Akad Fasid kerana tidak mencukupi syarat sah / rukun jual beli ,
tetapi diakhiri dengan berlaku proses qabd (pindah milik),
maka diwajibkan zakat ke atasnya kerana status pemilikannya adalah sempurna. Iaitu
wajib zakat (atas kedua-dua prinsipal dan keuntungan) untuk transaksi yg
akadnya fasid tetapi disertai qabd.
Maklumat Lanjut
Maklumat selanjutnya
boleh rujuk cara pengiraan di website Lembaga Zakat Selangor seperti berikut:
Website:
https://www.zakatselangor.com.my/
Alamat:
Bangunan Zakat Selangor
3-01-1, Presint ALAMi, Pusat Perniagaan Worldwide 2,
Persiaran Akuatik, Seksyen 13, 40100 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan
Waktu Operasi Cawangan:
1 Disember - 28 Disember 2020
9:00 pagi - 4:00 petang
Sabtu, Ahad & Cuti Umum
9:00 pagi - 3:00 petang
29 Disember - 31 Disember 2020
8:30 pagi - 8:00 malam
2 comments:
Betol tu emas ni dari zaman dulu lg smpai skrg masih relevan untuk simpan. Bila sesak kita guna.
Simpanan emas paling berbaloi, tp jgn lupa utk lupa bayar zakat ikut berat yg diwajibkan..
Post a Comment